(29 Aug 2002) KOTA
KINABALU: Sebanyak empat kaunter khas akan
disediakan di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu
(LTAKK) bagi memudahkan laluan semua ahli kontinjen
Sukan Malaysia (SUKMA IX) yang hadir dari luar Sabah.
Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Kebudayaan
Belia dan Sukan, Penyuki Matta berkata langkah itu
bertujuan melicinkan proses pengurusan ketibaan atlit
dan pegawai seluruh negara ke bandaraya itu.
Di samping itu katanya, atlit dan pegawai sukan terbabit
yang didatangkan khas ke Sabah sempena SUKMA IX juga
diberi kelonggaran oleh Jabatan Imigresen Sabah.
"Kami dimaklumkan bahawa mereka (atlit dan pegawai)
tidak perlu mengisi borang imigresen IMM 144 sebaik
tiba di LTAKK, sebaliknya borang itu cuma perlu dicop
dan dikembalikan kepada kakitangan imigresen ketika
pulang.
"Lazimnya, mereka perlu mengisi borang berkenaan
di kaunter imigresen, tetapi kita dimaklumkan untuk
SUKMA IX, atlit dan pegawai sukan dari luar Sabah
diberi keistimewaan ini," katanya di Kota Kinabalu,
semalam. |