 |
Persaingan bukan sahaja dari kalangan
pelbagai negeri di Malaysia tetapi juga dari Negara
Brunei Darussalam dan Wilayah Utara (Australia),
- Chong.
|
KOTA KINABALU (21hb. Feb. 2002): Tuan rumah Sukan Malaysia
(Sukma), Sabah mempelawa Brunei Darussalam dan Wilayah
Utara Australia untuk menyertai temasya sukan itu sebagai
peserta khas, kata Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat.
Walaupun masih menunggu jawapan dari kedua-dua negara
itu, beliau berharap mereka akan menerima jemputan negeri
ini.
"Ia akan menjadi sesuatu yang berbeza. Persaingan
bukan sahaja dari kalangan pelbagai negeri di Malaysia
malahan dari Brunei dan Wilayah Utara juga, dan ini pasti
akan menyuntik semangat baru kepada Sukma", katanya
kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet
negeri, di sini, pada Rabu.
Chong juga berkata semua anggota kabinet negeri telah
diminta melibatkan diri dengan aktif bagi memastikan kejayaan
Sukma kesembilan itu yang dijadualkan berlangsung September
ini.
"Sukma ialah perhimpunan yang pertama dan terbesar
di negeri ini dan kita harus memastikan para pengunjung
akan merasa seronok di temasya itu," katanya.
"Dengan berbuat demikian, kami berharap mereka yang
berada di Sabah semasa dan selepas Sukma, akan menjadi
jurucakap bagi negeri ini untuk mempromosikan Sabah,"
kata Chong.
Dari segi persediaan Sabah mengendalikan Sukma, beliau
berkata kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Likas,
venue bagi kebanyakan acara Sukma kelak sedang giat dilaksana.
Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM100 juta untuk
membuat persediaan menghadapi Sukma termasuk RM60 juta
untuk menaik taraf kompleks itu, katanya.
Selain itu, katanya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)
juga telah diarah memastikan bandaraya itu terus bersih
dan indah.
"Kabinet juga memutuskan supaya Dewan Bandaraya Kota
Kinabalu tidak harus membenarkan sebarang pendaratan penduduk
dari Pulau gaya dan mereka harus menggunakan terminal
feri berpusat untuk ke bandaraya ini," katanya. -
Bernama
Arkitel dibekalkan Daripada New Sabah Times
|