20 Mei 2012
 

 

 
     
 
  Sabah Mampu Anjur Sukma Dengan Jayanya: Musa



KOTA KINABALU: (30th. Jan. 2002) Menteri Kewangan Datuk Musa Hj. Aman percaya Sabah mampu menganjurkan Sukan Malaysia kesembilan (Sukma) dengan jayanya. "Sehingga kini, Sukma telah dianjurkan dengan berjaya pada masa lalu dan di Sabah saya percaya temasya sukan itu juga akan diadakan dengan berjaya, bagaimanapun kejayaan ini perlu dicapai bersama, sama seperti yang ditunjukkan sebelum ini," kata Musa.

Musa berkata demikian dan dalam ucapannya selepas majlis menandatangani perjanjian tajaan dengan Asia Pacific Sports Sdn.Bhd. di sebuah hotel terkemuka kelmarin. Asia Pacific Sports Sdn Bhd menaja pakaian dan peralatan rasmi untuk Sukan itu.

Musa menambah: "Kerja-kerja membaik pulih di Kompleks Sukan Likas dijalankan siang dan malam. Dan dibawah kepimpinan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para pegawainya, saya yakin venue-venue itu akan disiapkan tepat pada masanya."

"Saya dimaklumkan oleh Yahya yang dia ada membuat pemeriksaan (di stadium itu) hampir setiap hari untuk memastikan segalanya berada dalam keadaan baik.


"Adakalanya, apabila saya pergi bersenam pada sebelah malam, saya sengaja pergi ke sana kerana ingin melihat perkembangan kerja-kerja membaik pulih di sana dan saya gembira dengan apa yang saya lihat serta yakin kerja-kerja itu akan siap lebih awal dari yang dijadualkan," kata Musa.


Musa turut memberitahu kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh dalam menganjurkan temasya sukan itu.

"Selaku Menteri Kewangan, saya turut memberi jaminan kewangan untuk temasya sukan ini akan dikaji, sebenarnya peruntukan untuk Sukma akan menjadi keutamaan kami", tekannya.

Mengenai tajaan, Musa bagi pihak kerajaan, melahirkan penghargaannya kepada Asia Pacific Sports Sdn Bhd.

"Ini adalah tajaan pertama dan sebagai mewakili kerajaan negeri, saya berterima kasih kepada Asia Pacific Sports Sdn Bhd. Saya juga berharap lebih banyak syarikat dan badan korporat tampil ke hadapan.

"Sukma dianggap sebagai temasya sukan terbesar negara dan Sabah akan mencuba yang terbaik untuk menjadikan Sukma kali ini yang terbaik pernah dianjurkan," katanya.

Pada majlis itu, Asia Pacific Sports Sdn Bhd diwakili oleh pengarah urusannya Ahmad Bakar manakala Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penaja dan Kewangan Datuk Hj. S.Abdillah Hassan menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan negeri.

Datuk Hj.Yahya, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Datuk Noni Said dan pengurus besar Lembaga Sukan Sabah Herman Tiongsoh turut hadir pada majlis tersebut.


Arkitel dibekalkan Daripada New Sabah Times